Sedikit Bunyian

Jumaat, 31 Julai 2009

Nukilan Buat Sahabat


Sahabat,
Aku hargai segala pengorbananmu,
Tidakkan ku lupa segala nasihatmu,
Yang kukira amat berguna buatku,
Buat mengisi waktu tuaku.

Sahabat,
Ku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan,
Sekiranya diri ini ada melakukan sebarang kesalahan,
Yang tersirat atau tersirat dari penglihatan,
Semoga sama-sama kita terlepas dari seksaan.

Sahabat,
Aku tahu kau memang seorang sahabat sejati,
Yang bisa membuat semua sahabatmu sejuk hati,
Yang ku bimbangi hanyalah hati ini,
Adakah ikhlas menerima persahabatan ini?

Sahabat,
Masih ku ingat bagaimana mulanya pertemuan,
Saat ku sendirian kau datang memberikan harapan,
Bukanlah banyak yang telah kau berikan,
Namun akanku abadikan dalam ingatan.

Sahabat,
Satu ketika aku rasa diri ini terlalu jauh darimu,
Dapat kurasakan bahawa kau selindung sesuatu dariku,
Namun kau sungguh bijak menyembunyikan sesuatu,
Hingga aku hampir tidak mahu ambil tahu.

Sahabat,
Sampai masanya aku membuat pengakuan,
Diri ini kurasakan sudah keterlaluan,
Hingga sanggup ku lakukan sedemikian,
Hanya kerana mengikut telunjuk syaitan.

Sahabat,
Sebenarnya aku telah banyak melakukan kesalahan,
Sungguh dapat kurasakan kau tidak perasan,
Bagaimana harus kukatakan,
Moga-moga tidak termakan dek perasaan.


Sahabat,
Aku ingin mengatakan sesuatu,
Namun aku sendiri tidak pasti,
Adakah harus aku nyatakan di sini?
Ataukah harus kunyatakannya di hadapanmu sendiri?

* * *


p/s: Penulis ingin menterjemahkan isihatinya kepada sahabatnya yang mana telah banyak membantu beliau. Diharapkan sahabat kepada penulis akan membaca artikel ini dan memahami apa yang ingin disampaikan oleh penulis.

Jumaat, 24 Julai 2009

"KATA ITU KOTA"



Sedang dia berseorangan menghadap laptop barunya di bilik, dia dapat merasakan hari itu sungguh pelik. Terasa seperti ada 'sesuatu' sedang memerhatikannya. Namun tidak diendahkannya. Diteruskan kerjanya yang terbengkalai sejak sekian lama. Terus menerus tertangguh. Begitulah rutin hariannya. Janji kepada pengikut itu dan ini. Tetapi, janji hanya tinggal janji.




Tiba-tiba terasa dirinya di awangan. Terbang tinggi melayang-layang di awangan. Dalam keadaan begitupun masih lagi memikirkan pangkatnya, darjatnya, hartanya dan segala kemewahannya.




> Kau memang manusia tak guna!!


>> Aku?? Aku tak berguna?? Bukankah selama ini apa yang aku buat untuk kebaikan bersama?


> Memang kau tak guna!! Kau menasihati orang lain, namun dalam masa yang sama kau sendiri tak buat. Bahkan lebih teruk dari mereka yang kau nasihati.


>> Bukankah nasihat itu amat berguna buat orang-orang Mukmin..??


> Memang ianya berguna kepada orang Mukmin. Akan tetapi, lupakah kau akan firman Allah s.w.t. yang bermaksud;




" KAMU MENYURUH MANUSIA MELAKUKAN KEBAIKAN DAN DALAM WAKTU YANG SAMA KAMU SENDIRI MENINGGALKANNYA, SEDANGKAN KAMU MEMPELAJARI AL-KITAB. TIDAKKAH KAMU MENGETAHUI?"




> Dan maksud firmanNya lagi;




" MENGAPAKAH KAMU MENGATAKAN APA YANG TIDAK PERBUAT? KEMURKAAN YANG BESARLAH DI SISI ALLAH; KAMU MENGATAKAN APA YANG TIDAK KAMU PERBUAT"




> Sedarlah diri kau wahai hamba yang hina. Kamu hanyalah seorang hamba Allah yang amat lemah. Tidak selayaknyalah bagi kau untuk berbuat sewenang-wenangnya di atas muka bumi Allah.


>> Tolonglah aku ya Allah.. Ampunilah aku ya Allah.. Kasihanilah hambaMu yang lemah lagi >hina ini.. Aku masih lagi hambaMu yang mengakui sekaligus mengimami keWejudan dan keEsaanMu ya Allah..


> Sudahlah wahai manusia. Usah diratap lagi. Jika dari dahulu lagi kau meratap, memohon ampun kepada Allah sebegini, mungkin Allah akan menerimamu.


>> Kenapa?? Kenapa?? Di manakah aku sekarang?? Di mana??


> Segalanya telah terlambat.. Kau sekarang bukan lagi berada di Alam Dunia. Kau sekarang sedahpun berhijrah ke ALAM BARZAKH!!


>> Benarkah wahai teman?? Tapi, siapakah kau?? Aku tidak mengenali kau!!


> Kau tak kenal aku!! Aku lah amalanmu yang KEJI!!


>> Hah..?? Tidak....... Tidak........ Aku tidak percaya.. Aku tidak mati lagi. Aku masih hidup..!! Kau lihat, aku masih gagah lagi..


> Tidak!! Kau sudah mati. Terimalah hakikat ini. Anak-anak kau telah ditingalkan. Isteri kau telah ditinggalkan bersendirian. Harta, pangkat, darjat, kuasa dan segala kemewahan kau telah kau tinggalkan. Lihatlah dengan mata kepala kau. Anak-anak dan isteri kau sedang sibuk merebut harta tinggalan kau.


>> Kenapa sebegitu rupa mereka bertelagah?? Sehinggakan ada yang ingin berbunuhan??


> Itu adalah kerana kau tinggalkan mereka dalam keadaan kau tidak memberi mereka pelajaran agama yang secukupnya..


>> Oh isteriku.. Oh anak-anakku.. Janganlah kamu bertelagah lagi.. janganlah kamu seksa ayah lagi..


> Sudahlah.. Kau menangis air mata darah sekalipun, kau tak dapat mengubah tetapan yang Allah sediakan untuk kau..


>> Tolonglah aku.. Aku takut..


> Baru sekarang kau takut?? Kenapa?? Bukankah dahulu masa kau hidup di dunia begitu lantang dan berani kau mencabar hukum-hukum yang telah ditentukan Allah..??


>> Ya, tapi aku telah pun bertaubat..


> Bertaubat? Hahaha... Bertaubat kemudian kau ulanginya..?? Begitu kau kata bertaubat?? Semudah itu??


>> Ya, yang penting telah bertaubat kepada Allah..


> Tidak semudah itu hai manusia.. Ayuh, sekarang panggillah pengikut-pengikut kau masa di dunia dulu dan mintalah pertolonagn dari mereka. Bukankah dahulu kau telah 'menolong' mereka?? Nah, sekarang masa kau pula meminta pertolongan dari mereka..


>> Tapi, di mana mereka?? Mereka di mana??


> Itu mereka!! Lihatlah mereka dengan wajah itdak bermaya menerima pembalasan yang setimpal dengan segala amalan mereka di dunia dahulu. Akan tetapi perlu diingat.. Itu hanya sedikit.. Ada lagi yang lebiuh dahsyat yang menunggu mereka di Hari Pembalasan nanti..


>>Bagaimanakah nasibku?? Adakah aku juga akan bersam-sama mereka??


> Terserah kepada Allah.. Adakah Dia mengampuni dosa-dosa kau yang lampau.. Jika diampuni, alhamdulillah.. Jika sebaliknya, maka bersama merekalah kau. Bahkan lebih berat lagi dek kerana kau adalah pemimpin bagi mereka, akan tetapi kau tidak membawa mereka ke arah kebaikan..




* * *




p/s: sekadar ingin mengingatkan rakan-rakan seperjuangan..




Jumaat : 24 JULAI 2009 M/01 Rejab 1430H


Sabtu, 18 Julai 2009

KISAH MANUSIA

Sungguh beruntung kamu dijadikan seorang manusia. Punya perasaan, punya kehormatan, punya segala-gala. Kamu diberi penghormatan ke atas makhluk lain untuk mentadbir muka bumi ini. Kebijaksanaan diwariskan kepadamu supaya menguruskan hal-hal di dunia ini.

Kamu diciptakan dari setitis air, jika titisan itu jatuh ke tanah, ayam tak patuk itik tak sudu. Kemudian dalam beberapa hari, air itu berubah membentuk tulang berupa rangka manusia. Setelah itu rangka tersebut dibaluti daging pejal. Kemudian genap sembilan bulan maka lahirlah kamu ke dunia sebagai sebaik penciptaan.

Kamu diberi pangkat, darjat, harta benda dan pelbagai kemewahan. Ada pemerintah, ada pula yang diperintah. Kamu diciptakan fitrah berpasang-pasangan; laki-laki dan perempuan. Punya perasaan terhadap pasangan masing-masing. Kamu diberi akal, diselit nafsu. Bagi yang akalnya di atas nafsu, alhamdulillah. Beruntunglah badan. Bagi yang akalnya diperintah nafsu, masyaAllah. Rosak binasalah badan. Kamu beruntung kerana punya banyak pilihan.

NAMUN...

Kamu seringkali leka dan alpa dengan apa yang kamu miliki. Kamu tidak mempergunakan akalmu dengan sebaiknya ke jalan Allah. Kamu abaikan penghormatan yang telah diberikan. Bahkan kamu KHIANAT!! Kamu persiakan kebijaksanaanmu. Kehormatan dibiarkan tidak terjaga. Kamu tidak tahu apa erti sebuah perkataan;

SYUKUR...

Kamu tidak pernah rasa cukup dengan apa yang ada. Kamu sentiasa meminta lebih dari kemampuan kamu. Perasaan fitrah antara pasangan yang dikurniakan kepadamu telah disalahtafsirkan. Laki-laki sukakan laki-laki, perempuan sukakan perempuan. Perasaan malu dan jijik sedikitpun tidak pernah terlintas dalam fikiranmu. Keluar dari batas fitrah insani.

Tika itu, kamu sudah tiada erti lagi. Tidak lagi berharga sebagaimana fitrah ciptaan manusia. Harapan yang diberikan hanya tinggal harapan. Bagi yang memerintah bertindak sesuka hati. Bagi yang diperintah menurut dengan membabi buta waima telah tahu yang mana betul yang mana salah. Masih lagi mahu menegankkan benang yang basah. Mengiyakan setiap tindak-tanduk sang pemerintah.

Kerana apa?? Kerana apa?? Ini semua hanyalah dek kerana sehelai kertas yang diberi nama;

WANG...

Sedarlah wahai manusia. Hidup di dunia tidak lama. Sekadar satu persinggahan dalam perjalanan ke sebuah negeri abadi; AKHIRAT. Tegaklah kamu semua di atas tali Allah. Hindarilah semampumu dari mendengar sekaligus menurut telunjuk si pengkhianat, si bangsat, si jahanam. Hanya Jahannam yang layak menjadi tempat persemadiannya; IBLIS laknatullah.

Wahai manusia, jadilah kamu sebagai insan yang bukan sekadar benar-benar insan, bahkan insan yang bergelar hamba kepada Allah s.w.t.

p/s: buat renungan para pembaca. Bacalah dengan rasa rendah diri kepada-Nya.

#MEMBANGUN BERSAMA ISLAM#
#BERSATU TEGUH | BERCERAI ROBOH#

Sabtu, 11 Julai 2009

Return

Assalamualaikum.
Buat semua sahabat, saya ucapkan terima kasih kerana sudi menjenguk ke blog saya. Sudah lama ditingalkan dan dibiarkan blog ini tidak terusik. Gatal rasanya tangan ini ingin mencatat sesuatu. Setelah sekian lama tidak menaip, rasa janggal pula.
Di sini saya ingin meminta ribuan kemaafan jikalau ada membuat hati sahabat sekalian rasa terhimpit dek kehadiran diri ini. Terima kasih sekali lagi kepada yang sudi menulis komen. Dan insyaAllah saya akan perbaiki dari semasa ke semasa.
Buat pengetahuan semua, sebaik sahaja tulisan ini dipostkan maka genaplah 12 jam saya mengambil peperiksaan dur thani bagi madah Qiraat di Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra. Kami menempuhinya dengan penuh keyakinan. Alhamdulillah, kami dapat menjawab dengan jayanya. Diharap sahabat pembaca sekalian mendoakan kejayaan kami.
Baiklah, sampai di sini sahaja pertemuan kita pada kali ini. Diharap kita dapat bersua kembali buat masa yang terdekat ini. InsyaAllah.
Salam ukhuwah dari Islamic Author buat semua.
Assalamualaikum.