Sedikit Bunyian

Ahad, 25 April 2010

Kisah Manusia(ulang terbit)

Salam perjuangan buat semua. Sebenarnya tajuk di atas dah diterbitkan sebelum ni. Sengaja diterbitkan semula buat peringatan kita bersama. Marilah kita sama-sama menyelami 'Kisah Manusia' edisi ulang terbit;


Sungguh beruntung kamu dijadikan seorang manusia. Punya perasaan, punya kehormatan, punya segala-gala. Kamu diberi penghormatan ke atas makhluk lain untuk mentadbir muka bumi ini. Kebijaksanaan diwariskan kepadamu supaya menguruskan hal-hal di dunia ini.

Kamu diciptakan dari setitis air, jika titisan itu jatuh ke tanah, ayam tak patuk itik tak sudu. Kemudian dalam beberapa hari, air itu berubah membentuk tulang berupa rangka manusia. Setelah itu rangka tersebut dibaluti daging pejal. Kemudian genap sembilan bulan maka lahirlah kamu ke dunia sebagai sebaik penciptaan.


Kamu diberi pangkat, darjat, harta benda dan pelbagai kemewahan. Ada pemerintah, ada pula yang diperintah. Kamu diciptakan fitrah berpasang-pasangan; laki-laki dan perempuan. Punya perasaan terhadap pasangan masing-masing. Kamu diberi akal, diselit nafsu. Bagi yang akalnya di atas nafsu, alhamdulillah. Beruntunglah badan. Bagi yang akalnya diperintah nafsu, masyaAllah. Rosak binasalah badan. Kamu beruntung kerana punya banyak pilihan.

NAMUN...

Kamu seringkali leka dan alpa dengan apa yang kamu miliki. Kamu tidak mempergunakan akalmu dengan sebaiknya ke jalan Allah. Kamu abaikan penghormatan yang telah diberikan. Bahkan kamu KHIANAT!! Kamu persiakan kebijaksanaanmu. Kehormatan dibiarkan tidak terjaga. Kamu tidak tahu apa erti sebuah perkataan;

SYUKUR...

Kamu tidak pernah rasa cukup dengan apa yang ada. Kamu sentiasa meminta lebih dari kemampuan kamu. Perasaan fitrah antara pasangan yang dikurniakan kepadamu telah disalahtafsirkan. Laki-laki sukakan laki-laki, perempuan sukakan perempuan. Perasaan malu dan jijik sedikitpun tidak pernah terlintas dalam fikiranmu. Keluar dari batas fitrah insani.

Tika itu, kamu sudah tiada erti lagi. Tidak lagi berharga sebagaimana fitrah ciptaan manusia. Harapan yang diberikan hanya tinggal harapan. Bagi yang memerintah bertindak sesuka hati. Bagi yang diperintah menurut dengan membabi buta waima telah tahu yang mana betul yang mana salah. Masih lagi mahu menegankkan benang yang basah. Mengiyakan setiap tindak-tanduk sang pemerintah.

Kerana apa?? Kerana apa?? Ini semua hanyalah dek kerana sehelai kertas yang diberi nama;

WANG...

Sedarlah wahai manusia. Hidup di dunia tidak lama. Sekadar satu persinggahan dalam perjalanan ke sebuah negeri abadi; AKHIRAT. Tegaklah kamu semua di atas tali Allah. Hindarilah semampumu dari mendengar sekaligus menurut telunjuk si pengkhianat, si bangsat, si jahanam. Hanya Jahannam yang layak menjadi tempat persemadiannya; IBLIS laknatullah.

Wahai manusia, jadilah kamu sebagai insan yang bukan sekadar benar-benar insan, bahkan insan yang bergelar hamba kepada Allah s.w.t.

p/s: buat renungan para pembaca dan penulis juga khususnya. Bacalah dengan rasa rendah diri kepada Allah.


#MEMBANGUN BERSAMA ISLAM#
#BERSATU TEGUH | BERCERAI ROBOH#

Tiada ulasan: